40 Pelajar Sekolah Rendah Di DUN Mambong Disasarkan Sertai Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak

Disiarkan pada 12 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


PADAWAN: Seramai 40 pelajar sekolah rendah di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong disasarkan layak untuk menyertai program pendidikan di Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil memberitahu, sekolah berkenaan merupakan peluang terbaik untuk anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran kerana yurannya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.

Malah jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu, peluang cerah terus menanti anak Sarawak lebih-lebih lagi mereka yang mengambil jurusan kemahiran memandangkan dasar kerajaan negeri ini yang memerlukan tenaga mahir dan terlatih untuk menuju ke arah pembangunan yang mampan.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Taba Sait Kali Ke-8 yang berlangsung di Padang sukan Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) di sini pada Jumaat.

Mengulas mengenai aktiviti sukan sekolah, Datuk Dr Jerip memberitahu penganjuran sukan sekolah amat penting untuk mencorak dan memberi peluang kepada pelajar menunjukkan bakat mereka seterusnya digilap untuk menjadi atlet yang bertanding di peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong, Guru Besar SK Taba Sait Nur Hanum Abdul Halim, Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maxwell serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari kampung-kampung di kawasan BRS. -EDISI UKAS