KUCHING: Anak Sarawak diseru untuk mencontohi ketabahan dan kecekalan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam mencurahkan jasa dan bakti kepada masyarakat, negeri serta negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi adalah tokoh yang telah mencurahkan bakti dengan penuh dedikasi di sepanjang tempoh beliau berkhidmat dalam pelbagai kapasiti walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran dan kekangan demi ibu pertiwi.
"Inilah sifat yang mencerminkan semangat juang anak jati Bumi Kenyalang yang tetap akan maju ke hadapan dengan semangat ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan.
"Justeru, saya menyeru agar anak Sarawak mencontohi ketabahan dan kecekalan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dalam mencurahkan jasa dan bakti kepada masyarakat, negeri dan negara di mana sahaja saudara dan saudari berada,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena sambutan Hari Lahir Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi yang ke-78, di Padang Merdeka, di sini pada Sabtu.
Dalam ucapan sama, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyatakan keyakinannya bahawa kebijaksanaan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi sebagai Ketua Negeri akan terus memperkukuh Sarawak sebagai lambang perpaduan dan kestabilan di negara ini.
"Sejak memegang jawatan sebagai Ketua Negeri mulai Januari lepas, terserlah ketokohan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi sebagai seorang tokoh yang berpengalaman luas, senang didekati oleh rakyat dan sentiasa mesra dalam menyantuni rakyat pelbagai latar belakang dan kedudukan.
"Perpaduan yang kita telah bina bersama tidak harus dipandang ringan tetapi hendaklah diperkukuh berpaksikan institusi Yang di-Pertua Negeri kita sebagai titik persefahaman antara kaum dan agama,"jelasnya lanjut.
Di samping itu, impian Sarawak untuk menjadi kuasa ekonomi hijau di rantau Asia juga katanya dipercayai dapat direalisasikan di bawah naungan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif sedang dilaksana ke arah mentransformasikan ekonomi wilayah ini kepada ekonomi yang berasaskan inisiatif-inisiatif sifar karbon dan tenaga hijau sejajar dengan usaha sejagat untuk menangani perubahan iklim dunia.
Sejurus selepas berucap, Datuk Patinggi Abang Zohari bersama-sama dif-dif kehormat lain menemani Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menyempurnakan upacara memotong kek hari lahir sebagai simbolik, di hadapan seramai 78 kontinjen yang menghiasi padang tersebut dengan laungan 'Dirgahayu'.
Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari mengiringi Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan Utama termasuk para kontinjen bagi melengkapkan istiadat penuh tradisi dan adat itu.
Hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak selaku Menteri Bertanggungjawab Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, barisan Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri-Menteri Kabinet Sarawak serta dif-dif kenamaan yang lain. -Edisi UKAS