Industri Pertanian Harus Ikut Perkembangan Moden

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



BINTULU: Industri pertanian harus bergerak maju untuk mengikuti perkembangan moden dan baharu dalam industri.

 

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom memberitahu, kementerian ini dan agensinya perlu seiring dalam objektif memantapkan industri makanan.

 

“Jabatan Pertanian dan para pertubuhan peladang perlu peka dengan kepentingan industri makanan kerana kita terlibat dalam mengurus hal ternakan dan tanaman. 

 

“Contohnya, hasil tanaman padi yang kita sasar pada tahun pertama adalah lima tan metrik tetapi tidak dapat dicapai pada tahun kedua dan ketiga, maka kita harus meneliti dan terus menambah baik dari segi kepakaran dan teknologi baharu yang boleh diguna untuk mempertingkatkan lagi hasil tanaman padi,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Amanat Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak di sebuah hotel di sini baru-baru ini. 

 

Dato Sri Dr Stephen Rundi menambah, ketua di setiap bahagian harus bekerjasama dan mengenal pasti kekuatan industri makanan yang ada di bahagian masing-masing agar memantapkan lagi sektor pertanian di negeri kita, 

 

“Setiap bahagian perlu meneliti kekurangan tanaman yang dihasilkan dan mengkaji teras rantaian bekalan. 

 

“Seterusnya, membangunkan penyelidikan dan pembangunan yang boleh menambah baik produktiviti hasil tanaman yang disasar kerana adalah penting untuk memastikan hasil tanaman yang mempunyai nilai kebolehpasaran,” ujarnya.

 

Dalam majlis sama, Dato Sri Dr Stephen Rundi telah menyumbangkan sebanyak RM70,000 kepada kepada Kelab Jabatan Pertanian manakala Timbalan-Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Datuk Martin masing-masing menyumbang sebanyak RM32,000.

 

Turut hadir ialah Penasihat di Pejabat Premier (M-FICORD) Tan Sri William Mawan Ikom, Setiausaha Tetap M-FICORD Sirai Daha, Residen Bintulu Nyurak Keti dan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat. -EDISI UKAS