Dilema Pengambilan Khas Guru Sarawak: Cabaran & Implikasi

Disiarkan pada 11 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


Pengambilan Khas Guru Sarawak 2024 kini menjadi isu yang semakin hangat diperdebatkan.

Ini susulan tindakan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang membuka pengambilan guru khas di Sarawak kepada calon dari seluruh negara.

Tindakan ini mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang memberitahu, keutamaan perlu diberikan kepada calon tempatan bagi mengatasi masalah kekurangan guru di negeri tersebut.

Baru-baru ini, beliau menegaskan Kerajaan Sarawak bukannya bersikap anti-Semenanjung berhubung isu pengambilan guru tempatan di Sarawak kerana ia memerlukan penyelesaian yang menyeluruh dan jangka panjang.

Di sini, penulis melihat ia mencerminkan usaha untuk memajukan rakyat Sarawak dalam sektor pendidikan dan memastikan pengisian jawatan guru dapat bertahan lama.

Jika dilihat, walaupun pengambilan guru dari luar negeri boleh memberikan penyelesaian sementara, namun ia tidak menyelesaikan masalah jangka panjang.

Tidak cukup dengan itu, guru-guru dari luar Sarawak sering tidak bertahan lama, terutamanya di kawasan pedalaman yang mencabar dan cenderung untuk memohon perpindahan selepas beberapa tahun.

Ini menyebabkan masalah kekurangan guru di Sarawak berulang kali berlaku.

Selain itu, pengambilan calon luar Sarawak juga bertentangan dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasakan anak tempatan dalam sektor pendidikan.

Apabila guru luar negeri kembali ke negeri asal mereka, ia mewujudkan ketidakseimbangan dalam sistem pendidikan negeri dan menyebabkan kesukaran dalam membentuk sistem pendidikan yang mampan dan berterusan.

Menarik perhatian, penulis juga mengajak rakyat untuk senada dengan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn yang baru-baru ini juga telah meluahkan rasa kecewa dengan tindakan SPP itu yang dilihat seolah-olah tidak mengotakan janji.

Tegasnya, skim pengambilan khas guru itu adalah bagi mengisi kekosongan jawatan guru di Sarawak dengan mengkhusus kepada anak Sarawak sahaja, namun SPP turut membuka permohonan kepada orang di luar Sarawak.
 
Sementara itu, Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyarankan SPP mengutamakan anak-anak tempatan yang berkelayakan untuk mengisi pengambilan khas guru di Sarawak.

KGBS menegaskan SPP seharusnya tidak mengabaikan kelayakan anak-anak tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan guru di seluruh negeri itu kerana anak-anak tempatan juga tidak ketinggalan memiliki kelayakan setara dengan calon guru dari Semenanjung Malaysia.

Lazimnya, KGBS menyatakan bahawa apa yang diperlukan oleh anak tempatan hanyalah kursus berkaitan opsyen kritikal sementara menanti penempatan di sekolah.

Kesatuan Guru Sarawak (STU) pula menganggap keputusan SPP untuk membuka pengambilan guru khas di Sarawak kepada pemohon dari seluruh negara sebagai 'tidak sesuai'.

Kesatuan itu amat kecewa dengan keputusan tersebut dan SPP sepatutnya menghormati Sarawak dalam pengambilan khas ini dengan menarik balik semua calon dari negeri-negeri lain dan memastikan hanya calon tempatan yang dipertimbangkan.
STU juga berharap agar kerajaan negeri menerusi Kementerian Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) tidak berputus asa.

Ini kerana rakyat Sarawak mempunyai harapan tinggi terhadap usaha MEITD untuk mengambil 2,180 guru-guru tempatan bagi mengisi kekosongan di negeri tersebut.

Pada Ogos lepas, dilaporkan terdapat kira-kira 15,000 permohonan sudah diterima bagi jawatan kosong guru melibatkan Pengambilan Khas Guru Sarawak 2024.

Menarik perhatian, keperluan pengambilan guru khas di Sarawak perlu diambil kira kerana Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia dengan memiliki geografi yang luas dan keadaan infrastruktur yang berbeza antara bandar dan luar bandar.

Keadaan ini mempengaruhi sistem pendidikan di mana sesetengah kawasan terutamanya luar bandar, menghadapi kekurangan guru yang mencukupi dan berkelayakan.

Tuntasnya, pengambilan guru khas adalah satu keperluan yang mendesak untuk memastikan pelajar-pelajar di negeri tersebut tidak ketinggalan dalam arus pendidikan.

Fokus utama harus diberikan kepada usaha untuk melatih lebih ramai guru tempatan dan memastikan mereka kekal dalam profesion ini.

Untuk menyelesaikan masalah ini secara berkesan, usaha bagi melatih lebih ramai guru tempatan perlu dipergiatkan.
 
Ini boleh dilakukan melalui peningkatan akses kepada program pendidikan guru di universiti tempatan serta menyediakan insentif kewangan dan bukan kewangan yang menarik kepada anak-anak tempatan yang berminat untuk menjadi guru, terutamanya di kawasan pedalaman.

Dengan kombinasi peningkatan infrastruktur, insentif khas, dan program latihan yang lebih baik, kekurangan guru di Sarawak boleh ditangani dengan lebih berkesan sekaligus akan memajukan sektor pendidikan di Sarawak.-Game Changer