Program MDMJ Library Open Day 2024 Tingkat Literasi Masyarakat

Disiarkan pada 11 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS



BINTANGOR: Program MDMJ Library Open Day 2024 disambut dengan penuh semangat oleh komuniti setempat, mencerminkan komitmen berterusan dalam meningkatkan literasi dan pendidikan di kalangan masyarakat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, program itu diadakan bertujuan untuk menggalakkan komuniti setempat mengunjungi perpustakaan dan menggunakan kemudahan yang disediakan secara efektif.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Ding menyatakan bahawa program ini selaras dengan hasrat untuk melahirkan modal insan yang cemerlang serta memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Beliau menekankan kepentingan perpustakaan dalam menyediakan perkhidmatan literasi yang menyeronokkan dan inklusif, terutamanya dalam era digital masa kini.

Datuk Ding berkata demikian dalam ucapan perasmian Program MDMJ Library Open Day 2024 bertempat di Perpustakaan Awam Bintangor pada Khamis.

Selain itu, program ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti SDG 3 (Good Health & Well-being), SDG 4 (Quality Education) dan SDG 11 (Sustainable Cities & Communities).

Salah satu acara utama yang menarik perhatian adalah Program STEM (Science, Technology, Engineering, and Mathematics), hasil kerjasama dengan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya bidang sains dan teknologi dalam kehidupan seharian.

Dalam program yang sama, beliau turut memberikan sumbangan geran khas bernilai RM10,000 kepada Perpustakaan Awam Bintangor bagi tujuan pembangunan infrastruktur serta pelaksanaan aktiviti tahunan perpustakaan. -EDISI UKAS