SIBURAN: Kerajaan Sarawak menyasarkan sebanyak 60 peratus pelajar didaftarkan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjelang tahun 2030.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn memberitahu, ini adalah sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 kerajaan negeri.
Menurutnya, setakat ini hanya seramai 30 peratus pelajar telah didaftarkan dalam bidang STEM di Sarawak.
“Kementerian saya komited sepenuhnya untuk membantu para pelajar mencapai impian melalui bidang STEM melalui pelancaran pelbagai inisiatif untuk mempromosikan STEM di seluruh negeri, termasuk program yang direka untuk menjadikan pembelajaran interaktif dan menyeronokkan.
“Acara seperti Ekspo Mini STEM ini adalah cara yang hebat untuk merasai kreativiti yang ditawarkan oleh STEM melalui pertandingan, aktiviti hands-on dan bengkel yang menarik.
“Kita ingin pelajar melihat bagaimana STEM bukan sekadar mata pelajaran di sekolah tetapi bahagian yang menarik dalam kehidupan seharian,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian STEM HUB dan Karnival STEM, Badug STEM Mini Expo (BSMEx) 3.0 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padawan pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu berkata, kementeriannya juga memberi tumpuan untuk memastikan guru mendapat sokongan dan sumber yang diperlukan untuk membimbing para pelajar.
“Walaupun sasaran Kerajaan Sarawak untuk 60 peratus penyertaan STEM menjelang tahun 2030 mungkin kelihatan seperti jumlah yang besar, tetapi saya yakin ia mampu dicapai,” ujarnya.
Dalam majlis sama, Dato Sri Roland Sagah juga menyaksikan penyerahan Perjanjian Nota Usahasama Komuniti yang ditandatangani antara SMK Padawan dan Lighthouse of Hope (Sarawak Berhad).
STEM Hub merupakan satu inisiatif oleh pihak badan bukan kerajaan (NGO) iaitu LightHouse of Hope (Sarawak Berhad) yang dimulakan pada 16 April 2024.
Turut hadir ialah Pengetua SMK Padawan Irie Ambau, wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Marjolyn Michael, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Serian Rafi Taizel, Ketua Lembaga Pengarah Light House of Hope (Sarawak Berhad) Dato Ir Janang Bungsu dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Damen Rejek. -EDISI UKAS