KUCHING: Pertukaran sisa makanan menjadi sumber berharga seperti makanan haiwan dan baja adalah kritikal dan menjadi ‘game changer’ dalam industri pengurusan sisa tersebut.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, Fly Technology Agriculture Sdn Bhd (FTA) yang merupakan syarikat anak tempatan berjaya membawa perubahan tersebut terutamanya meningkatkan keselamatan makanan dan mempromosikan ekonomi kitaran melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu ‘Worming Up’
Jelasnya, ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab di samping pengurusan sisa makanan menjadi sebahahagian daripada agenda pembangunan negeri seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak.
"Daripada membina tapak pelupusan, kita mengubahnya menjadi baja, kita mengubahnya menjadi protein, kita mengubahnya menjadi minyak.
“Daripada sisa makanan ini disia-siakan, kita boleh menukarkan ia menjadi sesuatu sumber berharga dan semua ini boleh menjadi ekonomi kitaran dan menjana duit,” katanya.
Beliau berucap demikian dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fly Technology Agriculture Sdn Bhd bersama tujuh rakan strategik di TEGAS Digital Village di sini pada Khamis.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, MoU ini akan menyaksikan inovasi dalam pertanian, pengurusan sisa dan pengawalan alam sekitar menjadi norma.
Tambahnya, ia bagi memastikan bahawa rakyat masa kini meninggalkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan lestari untuk generasi akan datang.
Pada kemuncak majlis, Datuk Amar Dr Sim menyaksikan acara menandatangani memorandum persefahaman ini antara antara tujuh rakan strategik yang terlibat dalam kerjasama dengan 'Worming Up' adalah Masranti Plantation Sdn. Bhd., Siang Heng (Sarawak) Sdn. Bhd., Hotel Hilton Kuching, Bioloop Sdn. Bhd., Formeta PLT, Harbin Venturecy Cultural Development Co. Ltd. (China), dan Monster Biotech (Taiwan).
Difahamkan, 'Worming Up' bekerjasama dengan rakan-rakan strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pengurusan sisa industri, ekonomi kitaran, keselamatan makanan, inisiatif kelestarian pemakanan serta pengurusan sisa organik.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Le Khere Chiang, Pengarah Urusan FTA Jeff Wee serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS