Program Pemeriksaan Mata Secara Percuma Diteruskan Di SJK Chung Hua No.2

Disiarkan pada 11 Oct 2024
Sumber Berita: Ukas


BINTULU: Program pemeriksaan mata secara percuma bagi murid golongan B40 diteruskan di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua No.2 pada Rabu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming, Program yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Tanjung Batu dan Persatuan Fook Min ini bertujuan untuk memberikan manfaat kepada golongan sasar.

Tambahnya, sebanyak 60 unit cermin mata akan diberikan secara percuma kepada pelajar yang mempunyai masalah rabun setelah menjalani pemeriksaan mata.

"Program ini tidak hanya membantu meringankan beban ibu bapa dan pelajar dari golongan B40 dalam mendapatkan cermin mata, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan serta kesihatan mata," kata Johnny Pang.

Beliau menambah bahawa usaha ini diharapkan dapat mengurangkan risiko masalah rabun di kalangan pelajar, terutama pada usia pembelajaran yang kritikal dari peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi. -EDISI UKAS