MIRI: Pelaksanaan projek bekalan air berimpak tinggi di Bukit Song bernilai sekitar RM41.1 Juta sedang dilaksanakan bagi menambahbaik infrastruktur dan sistem bekalan air di kawasan Beluru, Bekenu, Niah dan Subis.
Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ianya bertujuan bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan-kawasan berkenaan.
Katanya, projek bekalan air tersebut telah dirancang dengan teliti oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana.
“Projek yang masih dalam fasa pembinaan ini melibatkan pembinaan stesen pam penggalak baharu berkapasiti 3.0 juta liter, pembinaan tangki reservoir berkapasiti 5.0 juta liter, pembinaan tangki aras tinggi berkapasiti 3.0 juta liter di Pekan Bekenu dan pemasangan saluran paip baharu sepanjang 31KM.
“Apabila projek ini siap sepenuhnya nanti pada suku pertama 2025, ia akan meningkatkan kapasiti pengeluaran bekalan air bersih kepada para pengguna di Bekenu, Beluru, Niah dan Subis sekaligus memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada 14,000 penduduk di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media setelah melawat Projek JBALB di Bukit Song di sini pada Rabu.
Bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di Bahagian Miri, Dato Sri Julaihi mengesyorkan bahawa JBALB Sarawak akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan akan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
Untuk makluman, projek-projek tersebut merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh. -EDISI UKAS