MIRI: Projek Pembesaran Taman Awam Miri Fasa 4 bakal dimulakan dengan jangkaan siap dalam tempoh 12 bulan.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kemajuan projek ini mengalami kelewatan disebabkan dua percubaan tender yang tidak berjaya.
“Projek yang melibatkan kawasan tebing batu dan Forest Park ini dilaksanakan dengan jumlah kos RM1.5 juta, dibiayai oleh Kerajaan Sarawak melalui peruntukan khas yang diluluskan pada tahun 2022.
“Tujuan utama projek ini adalah untuk menonjolkan keunikan lanskap geologi kawasan Taman Awam Miri, termasuk formasi tebing batu, serta meningkatkan kemudahan awam di taman ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak ke Projek Pembesaran Taman Awam Miri Fasa 4 pada Khamis.
Tambahnya, Taman Geologi ini merangkumi kawasan seluas 11.03 ekar, yang akan memelihara ciri geologi unik serta menyediakan ruang rekreasi.
Jelasnya, projek yang dibangunkan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) ini melibatkan pembinaan jalan masuk utama, hentian, tandas awam, pavilun, dua trek jogging dan satu laluan geologi.
Dalam lawatan itu, Dato Sri Lee juga menyuarakan kekecewaannya terhadap ketiadaan pembinaan menara pandang yang terdapat dalam pelan awal projek.
Beliau menekankan kepentingan menara pandang untuk memberikan pemandangan panorama bandar Miri, yang akan meningkatkan daya tarikan taman kepada pelancong.
"Menara pandang sememangnya harus menjadi keutamaan dalam projek ini, kerana ia membolehkan pengunjung menikmati pemandangan indah Bandaraya Miri dan sekitarnya dan juga menara ini boleh dijadikan tanda ikonik taman geologi ini," ujarnya.
Justeru itu, Dato Sri Lee meminta pihak majlis untuk mencari jalan penyelesaian untuk memasukkan menara tersebut dalam fasa-fasa projek akan datang.
Dengan siapnya projek ini dijangka akan menjadi satu tarikan baru pelancong dan sekaligus merancakkan sektor pelancongan Bandaraya Miri. -EDISI UKAS