Warga Kuching Meriahkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia 2024

Disiarkan pada 11 Oct 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Lebih 1000 warga Kuching memeriahkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia (ANMS) Sihat 2024 Bahagian Kuching Siri 3 yang dianjurkan sempena Kejohanan Muay Thai Piala Yang Dipertua Negeri Sarawak 2024 pada 5 Oktober lepas.

Pelbagai aktiviti berbentuk kesihatan diadakan bertempat di Panggung Udara (Amphitheatre) Kuching sebagai usaha mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan warga Kuching.

Antaranya aktiviti fun walk yang disertai kira-kira 200 peserta selain pameran dan saringan kesihatan, demonstrasi muaythai, pertandingan mewarna, pertandingan karaoke, cabaran e-sport dan e-game, cabutan bertuah serta saringan ujian kecergasan dan kuiz ANMS oleh pasukan Wellness On Wheels (WoW) Cawangan Promosi Kesihatan JKN Sarawak.

Program dimeriahkan dengan kehadiran Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching Dr. Johnny Pangkas serta Presiden Persatuan Muaythai Sarawak Jumaat Haji Ibrahim yang turut menyempurnakan flag off Fun Walk.

Acara dimulakan dengan sesi senamrobik yang diketuai oleh Coach Fairos dari PKB Kuching.

Menurut Jumaat, penganjuran program itu bagi menyahut seruan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat setempat berkaitan kepentingan gaya hidup sihat dan kelestarian persekitaran.
“Ia membuka peluang bagi komuniti sekitar untuk mendapatkan saringan kesihatan dalam pengesanan penyakit tidak berjangkit.
“Ia bertepatan dengan kesinambungan pelan strategik dari Agenda Nasional Malaysia Sihat. Pengunjung juga bakal mendapat manfaat dari agensi-agensi lain yang turut serta dalam program ini,” katanya ringkas.

Katanya, program tersebut membuka peluang kepada komuniti setempat mendapat saringan kesihatan bagi mengukuhkan kesedaran kesihatan dan pembudayaan hidup sihat.

Pada masa sama katanya, ia menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan antara petugas Kementerian Kesihatan Malaysia dengan masyarakat setempat selain menyediakan platform bersama agensi-agensi lain mendekati komuniti. - EDISI UKAS