KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan hadir ke Majlis Kesyukuran bersempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-78 di Masjid Jamek di sini, petang Khamis.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi perayaan itu, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kenamaan lain.
Majlis yang dihadiri kira-kira 1,500 orang tersebut bermula pada jam 6.31 petang dengan solat fardu maghrib dan bacaan Yasin yang dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Sejurus selepas itu, majlis diteruskan dengan alunan zikir oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Kuching, di bawah pimpinan Morshidi Udin.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi kemudiannya menunaikan Solat Fardu Isyak bersama jemaah yang hadir.
Selain Majilis Kesyukuran, pelbagai program lain turut diadakan bersempena dengan Sambutan Perayaan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-78 kali ini.
Antaranya, Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain yang akan berlangsung pada malam Jumaat.
Ini diikuti Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa di Padang Merdeka, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Astana Negeri Sarawak serta Majlis Jamuan Negeri di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 12 Oktober ini.
Manakala Majlis Jamuan Teh pula akan berlangsung pada 13 Oktober ini. -EDISI UKAS