‘Ukur Baju Di Badan Sendiri’ Dalam Melaksanakan Tugas

Disiarkan pada 11 Oct 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Golongan pemimpin, penjawat awam, ketua masyarakat dan pelbagai lapisan rakyat di Sarawak diseru agar ‘mengukur baju di badan sendiri’ dalam melaksanakan tugas mereka untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan nilai integriti.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan, sedar akan kemampuan diri dalam melaksanakan tugas boleh membantu mereka menjauhi diri daripada ‘ditelan’ nafsu yang tidak baik.

“Sebab itulah kalau kita ingin mempunyai nilai integriti yang tinggi, kita haruslah melihat diri kita dan kita jalankan tugas mengikut baju kita sendiri.

“Ini amat penting, kerana kita tahu salah satu cabaran kita ialah nafsu dan kalau kita tidak dapat mengawal nafsu tersebut, maka kita akan ‘ditelan’ olehnya,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana 2024 (MAP-i 2024) yang berlangsung di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai nilai integriti, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu amalan tersebut perlu bermula dalam diri sendiri berlandaskan dengan pegangan agama masing-masing yang jelas mengajar untuk sentiasa amanah dalam apa jua perkara.

Justeru, beliau menyeru agar nilai integriti ini diterapkan dalam diri masyarakat bermula dari zaman mereka masih muda supaya mereka mampu membuat keputusan yang berasaskan prinsip integriti dalam diri mereka.

“Dengan nilai integriti ini, kita yakin dan percaya mereka dapat menjaga amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, tidak kira apa peranan yang akan mereka sandang di masa hadapan.

“Kejayaan Sarawak di masa hadapan tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal, tetapi juga kepada pembangunan nilai integriti dan akhlak generasi mudanya," katanya lagi.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri-Menteri Sarawak, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dato Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu kenamaan yang lain.-EDISI UKAS