CeIO Bantu Tingkatkan Keyakinan Rakyat Terhadap Kepimpinan Kerajaan

Disiarkan pada 11 Oct 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Pegawai Berintegriti Bertauliah (CeIO) yang telah dilantik dapat membantu negeri ini meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan Sarawak melalui perkhidmatan yang mereka berikan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, fungsi CeIO amat penting dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada pemegang taruh dan rakyat bukan sahaja berkualiti, tetapi juga berlandaskan ketelusan dan integriti yang tinggi.

“Apabila perkhidmatan disampaikan dengan cara ini, kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan akan semakin kukuh, dan keyakinan pelabur untuk terus menyumbang kepada ekonomi Sarawak juga akan bertambah,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana 2024 (MAP-i 2024) yang berlangsung di sini pada Khamis.

Menurut beliau, Sarawak telah melahirkan seramai 211 CeIO yang ditempatkan di pelbagai agensi kerajaan menjadikan negeri ini sebagai negeri yang tertinggi mempunyai CeIO berbanding negeri-negeri lain.

“Seramai 25 CeIO telah ditempatkan di kementerian di Sarawak, 64 pegawai CeIO ditempatkan di jabatan, 55 pegawai di Badan-Badan Berkanun, 28 pegawai di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), 27 pegawai di Pejabat Residen Negeri dan 12 lagi pegawai CeIO ditempatkan di agensi-agensi lain,” ujar beliau.

Dengan jumlah tersebut, Datuk Patinggi Abang Zohari yakin Sarawak dapat merealisasikan hasrat mereka untuk menempatkan sekurang-kurangnya seorang pegawai CeIO di setiap agensi di negeri Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada pegawai-pegawai CeIO agar dapat melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang untuk memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan di samping memastikan pentadbiran yang lebih telus dan bebas dari amalan rasuah.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri-Menteri Sarawak, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dato Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS