Sarawak Terima Anugerah Khas Integriti

Disiarkan pada 11 Oct 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Sarawak menerima Anugerah Khas Integriti sebagai pengiktirafan atas usaha kerajaan negeri memperjuangkan nilai integriti dalam pentadbirannya.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki sempena Majlis Amanat Perdana Integriti 2024 (MAP-i 2024) pada Khamis.

Datuk Amar Mohamad Abu Bakar dalam ucapannya memberitahu, ianya merupakan pengiktirafan kepada usaha negeri ini membudayakan integriti, tatakelola yang baik dan antirasuah di Sarawak.

“MAP-i 2024 ini akan menyaksikan kerajaan Sarawak akan menerima Anugerah Khas Integriti sebagai tanda pengiktirafan atas kesungguhan dan komitmen negeri ini dalam usaha membudayakan integriti secara kolektif dan berterusan yang melibatkan sektor awam, kepimpinan masyarakat dan juga komuniti,” ujar beliau.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg turut hadir bagi menyempurnakan dan menyampaikan amanat beliau kepada penjawat awam yang hadir secara fizikal dan secara maya seluruh Sarawak.

Lebih manis lagi, enam agensi yang terlibat dalam projek rintis untuk MS ISO 37001:2016 ‘Anti Bribery Management System’ (ABMS) telah berjaya memperoleh sijil tersebut.

Agensi berkenaan ialah Jabatan Premier Sarawak (JPS), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).

Mengulas mengenai peranan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNION) dalam usaha mengukuhkan integriti, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar memberitahu, usaha tersebut diadakan secara meluas bukan kepada penjawat awam sahaja malah melibatkan pemimpin akar umbi.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri-Menteri Sarawak, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS