ADUN Simunjan Santuni Majlis Ramah Mesra Aidilfitri PSKKN

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris bersama isteri Napsiah Abang Kaderi menyantuni Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Persatuan Sosial Komuniti Kampung Nanas (PSKKN) pada Sabtu.
 
Beliau mengucapkan tahniah atas persediaan yang cukup baik dalam melaksanakan program seperti ini.

Awla memberitahu bahawa program-program seperti ini amat elok di mana ia dapat menghimpunkan masyarakat kampung terutamanya pada hari yang mulia ini.

"Mungkin kita tidak dapat menziarahi semua rumah ke rumah pada hari raya ini untuk bersalaman serta bermaaf-maafan, maka dengan adanya majlis ini ia adalah peluang untuk kita berkumpul dan bertemu," ujarnya.
 
Katanya lagi, ramah tamah ini mampu menghidupkan suasana gotong-royong, bekerjasama, perkongsian dan mengeratkan persaudaraan di antara penduduk kampung.
 
Hadir sama, Pengerusi PSKKN Abdul Khalik Udaini, Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simunjan Bojeng Ali, Penghulu Abang Madihie Abang Junaidi dan ahli-ahli PSKKN. -EDISI UKAS