KUCHING: Raptai Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-78 Tahun 2024 berjalan dengan lancar di Padang Merdeka Kuching pada Khamis.
Hadir ke raptai tersebut ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah selaku Menteri Bertanggungjawab, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Hipni serta Setiausaha Sulit Kanan Kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie.
Kehadiran mereka pada raptai hari ketiga yang juga raptai penuh bagi memastikan kelancaran majlis itu kelak yang mempunyai kekuatan kontinjen sebanyak 78 kumpulan daripada pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Ketika ditemui pemberita, Dato Sri Abdul Karim amat bersyukur kerana raptai yang dijalankan berjalan dengan baik termasuk persembahan-persembahan yang bakal disajikan dan berharap turut berjalan lancar pada hari kejadian kelak.
“Harapan saya juga cuaca pada hari istiadat perbarisan kelak sama seperti hari ini iaitu dalam keadaan baik,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak dan semua-semua kontinjen yang telah hadir selama tiga hari berturut-turut bagi memastikan acara pada Sabtu ini berlangsung meriah dan jayanya. -EDISI UKAS