Dana RM150,000 Disalurkan Untuk Naik Taraf Jalan Kampung Biya Parang

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


PADAWAN: Kerajaan Sarawak melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil meluluskan dana sebanyak RM150,000 untuk kerja-kerja menaik taraf Jalan Kampung Biya Parang.

Menurut beliau, penyaluran dana tersebut merupakan salah satu perancangan untuk membangun dan merancakkan lagi industri pelancongan dan pertanian di kawasan berkenaan.

Katanya, dana tersebut akan meliputi skop projek iaitu menaik taraf jalan berbatu di kampung berkenaan kepada jalan berturap bagi memudahkan lagi akses jalan darat di situ.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pusat Pengumpulan Sampah dan Kitar Semula serta Majlis Penutupan Gotong Royong Perdana Pembersihan Sungai Kampung Biya Parang pada Sabtu. 

Dalam program tersebut, beliau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan (Jalan dan Udara) menggesa Penduduk Kampung Biya Parang serta kampung-kampung di kawasan Pebiya untuk terus mengutamakan penjagaan kebersihan persekitaran kampung serta sungai bagi menjaga kelestarian alam semula jadi serta keindahan sungai-sungai dikawasan tersebut.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong, Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap, Ketua Kaum Kampung Biya Parang Megeng dan Penghulu Kawasan Annah Biya Dorong Kabut. -EDISI UKAS