Bina Bakat Teras Melalui Pengajian Lepas Ijazah Selepas Ijazah Pertama

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

LEEDS: Kerajaan Sarawak mempertimbangkan menghantar pelajar siswazah untuk mengikuti pengajian pasca siswazah di luar negara. 

 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, keputusan ini adalah susulan pelaksanaan inisiatif pendidikan tinggi percuma di universiti milik Sarawak menjelang tahun 2026.

 

“Pelajar lepasan ijazah ini akan menjadi antara minda terpelajar untuk membentuk teras modal sumber manusia Sarawak bagi membolehkan Sarawak terus maju dengan usaha ekonomi baharu.

 

“Sambil menyifatkan ekonomi baharu Sarawak sebagai ekonomi yang dibina atas sumber boleh diperbaharui dan kelestarian alam sekitar dan pendigitalan, Sarawak memerlukan lapisan kedua pemimpin dalam sektor korporat dan kerajaan untuk memajukan lagi ekonomi,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis makan tengah hari bersama pelajar Sarawak di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

 

Sehubungan itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata penubuhan Pusat Penyakit Berjangkit Tropika Sarawak di Kota Samarahan bermakna pusat tersebut memerlukan bakat dalam bidang farmasi, kimia, biologi dan mikrobiologi agar pusat itu mempunyai keupayaan membangunkan vaksin baharu bagi penyakit tropika.

 

Sementara itu, beliau berkata bahawa Sarawak merupakan pendahulu di Malaysia dengan meluluskan undang-undang baharu yang memerlukan perkhidmatan bakat baharu dalam bidang berkaitan.

 

Difahamkan, Premier Sarawak telah melawat loji janakuasa Drax di sini yang dijana oleh tenaga daripada biojisim.

 

Kemudian, beliau akan ke London untuk mendapatkan kerjasama dengan syarikat Britain untuk membangunkan semikonduktor kompaun dan seterusnya ke Poland untuk mengambil bahagian dalam Forum Hidrogen Eropah Tengah.

 

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzruddin Abdul Rahman. -EDISI UKAS