Bas Pintar Miri Percuma Dilengkapi Aplikasi Sarawak Smart City

Disiarkan pada 10 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Bas Pintar Miri Percuma dilengkapi dengan aplikasi Sarawak Smart City bagi memudahkan pengguna mengurus perjalanan dengan lebih efisien.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, aplikasi itu dapat menambah baik perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat di bandar pintar dan pusat peranginan tersebut.

“Sebelum ini kita cadangkan dan kita telah melaksanakan dasar tambang bas RM1, boleh pergi ke mana sahaja.

"Sudah tentu ini mengurangkan beban orang Miri khususnya B40 di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menyempurnakan 'The Miri Smart Buses' di Terminal Bas Miri, pada Rabu.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, inisiatif tersebut seiring dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan perkhidmatan serta kemudahan di Miri yang juga mempunyai dua tapak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) seperti Mulu dan baru-baru ini Gua Niah turut menjadi tarikan pelancong-pelancong luar.

Menurutnya, usaha Kerajaan Sarawak itu secara tidak langsung meningkatkan lagi sektor sosio-ekonomi penduduk tempatan.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persemabahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chew Yew, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak,
Datu Wong Hee Sieng, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS