MIRI: Kerajaan Sarawak kini menyediakan 14 bas pintar percuma bagi kemudahan masyarakat di Miri.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ini sekaligus menjadikan Miri sebagai bandaraya pertama di Sarawak yang mempunyai perkhidmatan bas awam percuma bermula 1 oktober 2024.
“Selama bertahun-tahun Miri bergantung kepada perkhidmatan bas lama yang boleh digunakan tetapi tidak lagi memenuhi keperluan masyarakat kita yang semakin berkembang.
“Pengenalan bas pintar baharu ini menandakan satu langkah berani ke hadapan dalam komitmen Kerajaan GPS Sarawak untuk menyediakan pengangkutan awam yang lebih selamat, lebih dipercayai dan percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika semasa Majlis Perasmian The Miri Smart Buses yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Terminal Bas Miri, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada pengusaha Miri City Bus Sdn Bhd yang diamanahkan untuk menyedia dan mengendalikan perkhidmatan bas awam baharu Volvo Euro 3.
Ujarnya, Bas Volvo baharu dengan 33 tempat duduk dan ruang untuk 21 penumpang berdiri itu bukan sekadar kenderaan malah ia mewakili bahagian penting dalam visi Sarawak untuk mengubah Miri menjadi bandar pintar terkemuka.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Belia,Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persemabahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chew Yew, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak,
Datu Wong Hee Sieng,Ketua-Ketua Jabatan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS