KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi tiga agensi tindak balas dengan kekuatan sumber manusia seramai 9,817 orang kini diarahkan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025.
Anggota yang terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu akan dibantu dengan kekuatan aset logistik termasuk 295 aset darat, 211 aset laut/sungai, 20 aset udara dan 269 aset sokongan.
Dalam satu kenyataan media pada Rabu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ramalan Jabatan Meteorologi menyaksikan hujan lebat bagi Sarawak dijangka bermula pada Disember 2024 sehingga Februari 2025 dan akan mengalami taburan hujan paling tinggi pada Januari 2025.
“Selaku Pengerusi JPBNS, saya telah mengarahkan semua agensi di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) supaya sentiasa dalam keadaan bersiap siaga dari segi aset dan logistik untuk menghadapi segala kemungkinan kejadian bencana.
“Selain itu, Residen Bahagian dan Pegawai Daerah turut diarahkan agar bilik gerakan banjir di semua bahagian dan daerah dapat diaktifkan pada bila-bila masa diperlukan bagi memastikan tindakan yang cekap dan efisien dapat diberikan semasa menghadapi situasi banjir kepada masyarakat,” katanya.
Datuk Amar Douglas Uggah menambah, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah bersiap siaga dalam memastikan kapasiti bekalan bantuan bencana mencukupi di semua depoh simpanan, stor pejabat dan juga di pangkalan hadapan.
Jelasnya, sebanyak 660 Pusat Pemindahan Sementara yang boleh menempatkan seramai 160,719 mangsa bencana juga sedia untuk digunakan dan dibuka pada bila-bila masa.
Dalam pada itu, sebanyak 332 Projek Pemuliharaan Sungai turut dilaksanakan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sarawak untuk membaiki dan membersihkan sistem saliran dan perparitan bagi memastikan aliran air yang lancar, mengurangkan risiko banjir serta meningkatkan kualiti ekosistem sungai.
Beliau yakin dengan kerjasama jabatan dan agensi berkaitan,jentera pengurusan bencana di semua peringkat dapat berjalan dengan lancar.
Beliau turut menasihatkan orang ramai dapat membuat persediaan awal sekiranya diarahkan untuk berpindah ke tempat yang selamat semasa berlaku kejadian bencana dan diingatkan supaya menyimpan semua dokumen penting dengan selamat daripada hilang dan musnah akibat bencana. -EDISI UKAS