SUBIS: Sarawak Plantation Berhad (SPB) sedang membuka laluan kerjaya baharu kepada rakyat Sarawak sebagai operator mesin dalam industri kelapa sawit.
Pengerusi Eksekutifnya Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi berkata program latihan dalaman yang telah bermula pada 2023 itu melatih warga tempatan yang berkelulusan diploma sebagai ‘Pakar Penuaian’ untuk menjadi operator mesin.
Katanya, industri tersebut memerlukan pekerja terlatih dan berkemahiran tinggi untuk mengendalikan dan menyelenggara mesin.
“Di bawah bekalan buruh semasa yang ketat dan harga tandan buah segar (FFB) kelapa sawit
yang baik, purata pendapatan pekerja kasar adalah kira-kira RM1,500 – RM2,500 sebulan.
“Jadi, dengan peningkatan dalam produktiviti ini adalah wajar untuk membayar kami ‘pakar penuaian’ sekitar RM3,000 - RM5,000 sebulan.”
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada majlis perasmian mesin penuai buah sawit di Ladang Subis, Jalan Miri - Bintulu pada Rabu.
Perasmian telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Katanya, pusat latihan SPB yang dinamakan Akademi Perladangan Sarawak telah ditauliahkan oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia untuk menjalankan latihan bertauliah TVET pada September 2024,
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) kerana membiayai Projek Perintis Pakar Penuaian IMPAC-SPB kami di mana kumpulan pertama 15 pelatih akan dibiayai sepenuhnya oleh IMPAC dengan kos keseluruhan RM130,500.”
Sehubungan itu, beliau berharap agar kerajaan negeri dapat memperuntukkan dana khas untuk membolehkan mereka meneruskan penyelidikan dan pembangunan menerusi kolaborasi bersama pemain industri dan institusi penyelidikan untuk meningkatkan produktiviti industri kelapa sawit di Sarawak.
Katanya, Sarawak mengeluarkan anggaran 4 juta tan minyak sawit mentah (MSM) setiap tahun dan mengutip 5 peratus daripada hasil yang dijana yang
diterjemahkan kepada anggaran RM760 juta kepada tabung negara.
Selain itu katanya, SPB juga membayar RM16 setiap tan ses kepada MPOB yang diterjemahkan
kepada RM64 juta setahun.
Mengulas mengenai mesin penuai buah sawit ciptaan SPB yang diberi nama ‘lipan’, beliau berkata kejayaan itu hasil usaha gigih mereka selama bertahun untuk meningkatkan produktiviti kelapa sawit di Sarawak.
Katanya, dengan bantuan pakar dari China, SPB berjaya mencipta mesin tersebut yang ditingkatkan keupayaannya dari masa ke semasa hingga berupaya menuai 180 tandan buah sawit sehari setiap seorang.
“Pada 27 Jun 2019, kami telah mengadakan demonstrasi kepada Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Kemajuan Wilayah (MANRED), Datuk Amar Douglas Uggah.
“Beliau menyatakan bahawa ‘prototaip’ itu akan menjadi ‘game changer’ bagi industri kelapa sawit dan meluluskan sejumlah RM5 juta geran untuk SPB untuk membangunkan lagi mesin itu,” tambah beliau.
Hadir sama Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Kerajaan Tempatan) Datuk Dr. Penguang Manggil, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus serta dif-dif kenamaan yang lain. - EDISI UKAS