Penyerahan Projek Pusat Seni Sarawak 2 Mei Depan

Disiarkan pada 21 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Penyerahan projek bagi mengubahsuai bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang lama untuk dijadikan Pusat Seni Sarawak akan diadakan pada 2 Mei depan. 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, projek itu nanti dijangka mengambil masa lebih kurang dua tahun setengah untuk disiapkan. 

“Projek Pusat Seni Sarawak di bangunan DUN lama akan diserahkan kepada kontraktor yang mampu untuk mengubahsuai tempat itu menjadi Pusat Seni Sarawak pada awal Mei ini iaitu pada 2 Mei dan dijangka mengambil masa dua tahun setengah untuk siap,” jelas beliau. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Majlis Seni Sarawak di sini pada Sabtu. 

Menurut beliau, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan menghadiri serta menyaksikan sendiri penyerahan projek kepada kontraktor itu nanti. 

Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak memberitahu, kerajaan Sarawak akan menampung sepenuhnya dana untuk perlaksanaan projek tersebut yang mana menelan perbelanjaan lebih RM100 juta. 

“Kos untuk kerja-kerja pengubahsuaian bangunan DUN dan bangunan ‘lapau’ di sebelahnya itu nanti akan melibatkan kos melebihi RM100 juta yang mana akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak,” jelas beliau lagi. 

Untuk makluman, sebanyak empat buah syarikat akan terlibat dalam mengusahakan projek ini nanti. 

Dalam majlis tersebut, Dato Sri Abdul Karim dan Timbalannya Datuk Snowdan Lawan berkesempatan untuk bertandak dalam acara bermukun yang semestinya menjadi persembahan kemuncak pada malam itu. 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak Dayang Mariana Abang Bolhassan dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Datu Sherrina Hussaini serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS