TEBEDU: Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) memberi komitmen untuk terus membangunkan kawasan luar bandar.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, sejak ditubuhkan pada 29 September 2022, GKCDA telah banyak merangka projek di semua sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula dari DUN Opar hingga DUN Balai Ringin.
Ujarnya sehingga Oktober 2024, bilangan projek yang telah diluluskan untuk dilaksanakan di bawah Fasa 1 adalah sebanyak 372 projek terbahagi kepada 201 projek di Bahagian Kuching dan 171 projek di Bahagian Serian.
"DUN Bukit Semuja sahaja terdapat 47 jenis projek yang bakal dilaksanakan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM152 juta," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Siap GKCDA di sini, pada Rabu.
Beliau juga berkata, projek penyambungan bekalan air paip di dua buah kampung iaitu Kampung Sorak dan Kampung Belimbing A yang mana masing-masing menelan perbelanjaan sebanyak RM182,695 dan RM163,250 telah siap sepenuhnya.
Mengulas mengenai projek-projek yang telah dirangka sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu memberitahu, sebanyak enam projek telah diperuntukan, 48 sudah diberi tender kepada pihak kontraktor, 34 dalam fasa pemberian tender dan 282 projek lagi masih berada di peringkat perancangan dan dokumentasi.
Hadir sama ADUN Bukit Semuja John Ilus, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, ADUN Serembu Miro Simuh, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pegawai Tadbir Khas GKCDA Datu Ik Pahon Joyik, Setiausaha-Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak John Nyigor dan Damian Rejek serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS