SIMUNJAN: Kejohanan sukan sekolah menjadi medium awal untuk mengetengahkan bakat pelajar sebelum mereka melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, pelajar yang cemerlang dalam bidang sukan diharapkan dapat menjadi atlet berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi bagi mewakili daerah, negeri dan negara.
"Saya merasakan kejohanan ini merupakan medan terbaik untuk guru-guru mencipta kreativiti memacu semangat pelajar manakala para pelajar pula berpeluang menunjukkan kebolehan masing-masing.
"Kepada ibu bapa, saya mengharapkan mereka dapat memberikan sokongan kepada anak-anak untuk bergiat lebih aktif dalam aktiviti kokurikulum," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pisang Selangking di sini, pada Rabu.
Mengenai bangunan baharu sekolah tersebut, Rodiyah memaklumkan beliau akan terus berhubung dengan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana dan Jabatan Bomba dan Penyelamat berkenaan penyerahan bangunan tersebut kepada pihak sekolah.
"Bangunan baharu SK Tanjung Pisang Selangking secara fizikalnya telah siap sepenuhnya dan saya sentiasa berhubung dengan pihak JKR Bahagian Samarahan untuk berbincang bagi mendapatkan perkembangan bila projek ini dapat diserahkan.
"Ketika ini kita masih menunggu kelulusan dan pemeriksaan daripada pihak Bomba kerana pihak mereka perlu memastikan keselamatan warga sekolah pada masa akan datang," ujarnya.
Dalam majlis yang sama, Rodiyah yang juga Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah bekerjasama dengan SKM Negeri Sarawak untuk menyampaikan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berbentuk keperluan peralatan sekolah kepada 69 pelajar SK Tanjung Pisang Selangking.
Beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM60,000 kepada pihak sekolah bagi menaiktaraf surau di sekolah berkenaan.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sarawak Mohd Noor Firdaus Fadzil, Penolong Pegawai Pendidikan (Unit Sukan) Sektor Pembangunan Bakat Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan Abang Redzuan Juli, Guru Besar SK Tanjung Pisang Selangking Bakar Berahim, Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Bojeng Ali, Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tanjung Pisang Selangking Hamdan Sapaei dan Ketua Kaum Kampung Tanjung Pisang Bakeri Jamali. -EDISI UKAS