Semangat Kerjasama Perkukuh Perpaduan Di Dalat

Disiarkan pada 20 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


DALAT : Amalan kerjasama yang dipraktikkan sekian lama oleh masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat memperkukuhkan semangat perpaduan di kawasan itu.
 
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah  berkata dengan adanya kerjasama dalam masyarakat, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ahli jawatankuasanya dan disokong oleh Pejabat Daerah serta Pejabat Residen, Lebuk Kaul telah dibina pada 9 Oktober 2023 setelah dipersetujui reka bentuknya, 31 Disember 2023 telah siap.
 
Katanya, Lebuk Kaul telah dilaksanakan secara gotong-royong oleh JKKK di mana proses pembinaannya menyatupadukan rakyat, dan ini sangat penting untuk perpaduan.
 
Jelasnya, sembilan buah Lebuk Kaul telah disiapkan, lapan daripadanya adalah milik setiap JKKK kawasan Oya dan sebuah Lebuk lagi adalah gaungan JKKK Dalat.
 
“Lebuk dalam bahasa Melanau adalah rumah, manakala Kaul adalah suatu perayaan yang diraikan oleh suku kaum Melanau di Sarawak, Borneo.
 
“Setiap tahun kita bina khemah untuk JKKK untuk Pesta Kaul, saya sumbangkan sejumlah peruntukan untuk dibina khemah, selesai Pesta Kaul, ianya diroboh.
 
“Tahun kemudiannya diperuntukkan lagi sejumlah bajet untuk khemah JKKK, kemudian diroboh lagi. Sampai bila? Dan dari situlah timbulnya idea untuk Lebuk Kaul.”
 
Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Lebuk Kaul Oya di Tapak Kaul Oya pada Sabtu.
 
Ujarnya, pembinaan Lebuk Kaul itu dilaksanakan dengan kepercayaan penuh JKKK dan ahli jawatankuasa dengan peruntukan RM50,000 disalurkan kepada JKKKK.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu menambah pembinaan projek itu mengikut Tmodel dan spesifikasi dan ia tidak perlu diroboh dan kekal.
 
“Ianya akan dipunyai oleh JKKK dan diselenggara oleh JKKK. Ianya akan dijadikan homestay dan homestay di kawal selia oleh JKKK yang mampu menjana ekonomi komuniti dan memudahkan pengunjung untuk menikmati suasana di tepi pantai. Setiap Lebuk Kaul akan diberi nama bunga.
 
“Apabila kita serahkan kepada JKKK, “ownership” sangat penting. Ownership adalah “rasa kepunyaan” terhadap Lebuk Kaul oleh JKKK yang telah dipertanggungjawabkan.
 
“Dengan adanya akauntabiliti, keceriaan, keselamatan dan kebersihan Lebuk Kaul ini adalah dibawah JKKK. Tidak lagi di bawah Pihak Berkuasa Tempatan,” tambah beliau.
 
Sementara itu, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd. Sanusi akan merasmikan Majlis Perasmian Benteng Kawalan Hakisan Pantai di Kampung Kuala Hilir Oya dan Majlis Perasmian Pesta Kaul Oya 2024 pada Ahad. - EDISI UKAS