KUCHING: Integriti dan kepimpinan merupakan ikatan yang tidak terpisah dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SCS).
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, hubungan mendalam antara integriti dan kepimpinan menunjukkan bagaimana integriti berfungsi sebagai asas kepada kepimpinan yang berkesan dan berpanjangan.
Menurut beliau, bagi SCS, harapan ini telah diterjemahkan ke dalam piawaian dan mekanisme pemantauan yang bertujuan untuk menyediakan akauntabiliti sebagai mekanisme bagi memastikan kepentingan awam terpelihara.
"Komitmen Kerajaan Sarawak terhadap integriti SCS ditunjukkan melalui penetapan harapan yang jelas terhadap tingkah laku peribadi yang teladan, termasuk piawaian tinggi dalam menjalankan tugas rasmi.
"Kami (SCS) berkongsi keyakinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam menjunjung tinggi integriti dan mengekalkan amalan tadbir urus yang baik selaras dengan visi kami untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2030,"
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dalam ucapan aluannya sempena Sarawak Future Forum 2024 di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar memberitahu, landskap perkhidmatan awam yang sering berubah disebabkan oleh reformasi perundangan, peraturan baharu atau permintaan masyarakat.
Jelas beliau, sikap dan minda pembelajaran berterusan dalam SCS akan menghasilkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Pembelajaran berterusan membolehkan kita mengikuti perubahan ini dan menjadi lebih fleksibel serta terbuka apabila meneroka pendekatan inovatif, melaksanakan penyelesaian yang baru, mengenal pasti cara untuk kekal fleksibel dalam persekitaran yang berubah dan membina kemahiran untuk kekal tabah melalui kesukaran.
“Ini akan memberi manfaat kepada ekosistem SCS dan menyumbang kepada kecekapan serta keberkesanan agensi kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar optimis perkhidmatan sektor awam adalah asas dalam memastikan perkhidmatan yang efisien bagi pemulihan ekonomi negeri.
Namun ujarnya, tenaga kerja SCS perlu dilengkapi dengan kemahiran untuk memahami dan menggunakan teknologi bagi memudahkan semua sektor ekonomi di Sarawak.
“Hubungan antara sektor perniagaan, awam, sosial dan sektor ketiga akan berubah, memerlukan kerjasama yang lebih berkesan.
“Ini bermakna pembangunan modal insan atau lebih tepatnya kemahiran adalah kritikal untuk kelestarian sosio-ekonomi negeri,” katanya.
Turut hadir, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali serta pegawai-pegawai kerajaan lain. -EDISI UKAS