KUCHING: Malaysian Press Institute (MPI) mengadakan kunjungan hormat ke ibu pejabat Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jabatan Premier Sarawak di Bangunan Baitul Makmur di sini pada Rabu.
Rombongan MPI yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Ainol Amriz Ismail telah disambut mesra oleh Pengarah UKAS, Samuel Simon serta barisan Ketua-Ketua Penolong Pengarah UKAS.
Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, delegasi MPI telah menerima taklimat mengenai struktur dan operasi utama UKAS sebagai media rasmi Kerajaan Sarawak sejak ditubuhkan pada tahun 2018.
Samuel memaklumkan, adalah menjadi tanggungjawab UKAS sebagai media rasmi kerajaan Sarawak untuk kekal relevan dalam usaha menyampaikan informasi dan inisiatif-inisiatif kerajaan kepada rakyat.
Dalam pada itu, perbincangan dua hala tersebut turut menumpukan kepada potensi kolaborasi di antara kedua-dua pihak berkaitan program latihan berhubung penggunaan teknologi baharu dalam media digital masa kini.-EDISI UKAS