KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) bekerjasama menganjurkan Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) yang akan diadakan di Kuching pada 14 Oktober 2024.
Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan penggunaan teknologi inovatif sawit yang telah bersedia untuk dikomersialkan, dengan sasaran penggiat industri serta usahawan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di Sarawak dalam usaha mengukuhkan daya saing perniagaan tempatan di pasaran domestik dan global.
Program tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, menekankan bahawa TOT Sarawak memberikan peluang berharga kepada penggiat industri dan usahawan tempatan untuk berinteraksi secara langsung dengan penyelidik MPOB dan pencipta teknologi.
"Ini merupakan peluang unik untuk mempromosikan pengkomersialan teknologi minyak sawit, sekaligus memacu pembangunan mampan dan kemajuan industri sawit di Sarawak," katanya menerusi satu kenyataan media pada Rabu.
Semasa dianjurkan di Selangor pada Julai lalu, 238 teknologi telah berjaya dikomersialkan oleh penggiat industri dan rakan kerjasama strategik, dengan inovasi yang merangkumi bahan berasaskan minyak sawit, produk makanan, dan produk hiliran minyak sawit.
TOT Sarawak 2024 dijangka akan memberi tumpuan kepada teknologi-teknologi yang telah siap dikomersialkan yang sesuai dengan keperluan industri sawit yang dinamik di Sarawak serta membuka peluang baharu kepada usahawan dan penggiat industri tempatan. -EDISI UKAS