Kerajaan Sarawak Komited Perkasa Sektor Pertanian Melalui Program Agricorp

Disiarkan pada 09 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS

 
PAKAN: Kerajaan Sarawak terus komited dalam meningkatkan sektor pertanian negeri melalui penganjuran program Agriculture Community Outreach Programme (Agricorp).

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben berkata, usaha tersebut penting untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan yang signifikan.

"Program ini merupakan salah satu daripada teras dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

"Melalui PCDS 2030, kita menumpukan usaha untuk mengembangkan sektor pertanian dan menjadikan Sarawak sebagai negeri pengeksport makanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa mewakili Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom menyempurnakan Majlis Penangguhan Agricorp 2024 di Rumah George Chunggut, Nangsang di sini, pada Selasa. 

Dalam pada itu, beliau berharap program Agricorp tersebut dapat membantu petani dan penternak meningkatkan pendapatan mereka selain menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.

"Kita juga berharap program ini turut memberi motivasi kepada petani luar bandar seperti di Pakan untuk menggunakan teknologi baharu sejajar dengan dasar kerajaan negeri bagi mencapai matlamat pembangunan lestari di Sarawak," tambahnya.

Hadir sama Penasihat di Pejabat Premier Sarawak Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Tan Sri William Mawan Ikom, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Sirai Daha, Pengurus Besar SALCRA Joseph Blandoi serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS