Stesen Pertanian Baharu Bantu Pacu Aktiviti Pertanian Di Sungai Asap

Disiarkan pada 20 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SUNGAI ASAP: Stesen pertanian baharu yang akan dibina di kawasan Sungai Asap akan membantu dalam meningkatkan produktiviti dan ekonomi penduduk di situ.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata stesen tersebut akan berperanan memberi khidmat nasihat serta bimbingan kepada para petani.
 
Justeru, beliau berharap projek ini dapat dilaksanakan selaras dengan kualiti dan tempoh yang ditetapkan.
 
Beliau juga memohon kerjasama semua pihak khasnya pihak kontraktor bersama agensi pelaksana serta masyarakat setempat agar projek ini dapat disiapkan dengan jayanya.
 
Kennedy Chukpai berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Cadangan Projek Pembinaan Stesen Pertanian di Sungai Asap, Belaga bertempat di tapak projek berkenaan pada Sabtu.
 
Projek tersebut telah bermula pada 16 Februari 2024 dan dijangka siap pada 15 Ogos 2026.
 
Ia mencakupi satu blok pejabat, kuarters, stor untuk penyimpanan baja dan racun, pondok sampah termasuk tempat letak kereta, pagar dan sistem perparitan.
 
Pejabat pertanian baharu ini dapat memberikan manfaat kepada warga penduduk di Sungai Asap serta kawasan setempat dengan adanya tempat yang sesuai dan kondusif untuk mendapatkan perkhidmatan berkaitan pertanian, perikanan, penghantaran hasil dan lain-lain lagi. - EDISI UKAS