Kerajaan GPS Terus Bawa Pembangunan Di Kawasan Luar Bandar

Disiarkan pada 20 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KAPIT: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetap membawa dan melaksanakan pembangunan baik dari segi infrastruktur dan ekonomi kepada penduduk di kawasan pedalaman.
 
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang Dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata berbagai projek besar seperti pembinaan jalan raya, jambatan serta banyak lagi pembangunan infrastruktur telah dilaksanakan.
 
“Setiap tahun kerajaan GPS mempunyai perancangan pembangunan infrastruktur supaya penduduk khususnya di luar bandar dapat meningkatkan lagi taraf ekonomi dan pendapatan mereka.
 
“Kerajaan GPS memang tidak bebelah bagi dalam menyalurkan peruntukan di setiap kawasan untuk tujuan pembangunan,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek MRP Bukit Goram di Hotel Meligai, Kapit pada Sabtu.
 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram berkata selain segi pembangunan infrastruktur dan ekonomi, kerajaan GPS juga komited dalam meningkatkan lagi taraf pendidikan demi melahirkan masyarakat yang cerdik pandai terutamanya di kalangan belia.
 
Katanya, ini dilihat apabila banyak projek pembinaan sekolah dan institusi pengajian tinggi telah dilaksanakan di seluruh Sarawak tanpa mengira bentuk dan kedudukan muka bumi.
 
Dalam pada itu, beliau amat berharap agar semua penerima menggunakan peruntukan yang diberi dengan sebaik-baiknya agar dapat memberikan faedah dan kebaikan kepada semua komuniti di kawasan masing-masing.
 
Sebanyak 43 persatuan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima peruntukan berjumlah keseluruhan RM396,000 pada majlis berkenaan. - EDISI UKAS