Premier Sarawak Luang Masa Bersama Pelajar Sarawak Di Leeds

Disiarkan pada 20 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


LEEDS: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meluangkan masa bersama hampir 20 orang penuntut dari Sarawak di sini dalam majlis makan tengah hari bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu waktu tempatan.

Para penuntut tersebut adalah dari Universiti Sheffield, University Bristol, London Imperial College, Universiti Manchester, London School of Economics, Oxford University dan Leeds University.

Sementara itu, Premier Sarawak mengalakkan para penuntut di Leeds untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana  supaya dapat menyumbang kepada pembangunan Sarawak nanti.

Ini kerana ujar beliau, mereka merupakan pengganti kepada pemimpin masa sekarang pada satu masa nanti.

Dalam pada itu, majlis makan tersebut turut diselitkan dengan sesi perkongsian mengenai Forum Teknologi Hidrogen Eropah Tengah yang akan berlangsung di Poland.

Pada forum berkenaan, Premier Sarawak akan menyertai sesi 'Debate Regions For The Planet' bagi berkongsi perspektif Sarawak ke arah peralihan tenaga boleh diperbaharui serta kelestarian alam sekitar. 

Turut hadir ialah isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri Datin Amar Baduyah Bujang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman serta Ketua-ketua jabatan dan agensi.

Premier Sarawak tiba di Leeds pada Jumaat bagi mengetuai delegasi kerajaan negeri dalan lawatan kerja ke London dan Poland sehingga 24 April ini. -EDISI UKAS