Pemilihan KMKK Perlihat Keyakinan Pentadbiran Terhadap Ketua Masyarakat Dilantik

Disiarkan pada 20 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BELAGA: Pemilihan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Belaga memperlihatkan keyakinan pihak pentadbiran terhadap tanggunggungjawab semua ketua masyarakat yang dilantik.
 
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang berkata tidak wujud unsur pilih kasih dalam pemilihan, sebalikya perkara yang diutamakan adalah rakyat.
 
“Setakat apa yang diketahui dalam panel pemilihan, kita langsung tidak ada menyatakan ‘dia ini pilihan saya atau di sebaliknya’ atau ‘saya mahu yang ini atau yang itu’.
 
“Sehingga sekarang ini kita tidak pernah melakukan perkara seperti itu kerana kita tahu bahawa semua dipilih untuk mentadbir rakyat di rumah panjang.”
 
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah Belaga di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Belaga pada Jumaat.
 
Sementara itu, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata kerjasama peringkat akar umbi di antara rakyat dengan para pemimpin sangat penting.
 
Beliau juga bersetuju dengan Pegawai Daerah untuk mengadakan seminar untuk KMKK supaya mereka mempunyai suatu standard yang lebih baik.
 
Katanya lagi, projek RTP sangat penting kerana ia memberi impak kepada rakyat dan tidak mahu projek ini terbantut oleh kerana infomasi yang tidak jelas.
 
  
Pada majlis tersebut, seramai 66 orang Ketua Kaum dari Daerah Belaga telah menerima sijil perlantikan pelanjutan tempoh perkhidmatan mereka.
 
Daripada  66 orang ini, 24 orang adalah dari kawasan DUN  Belaga dan 42 orang dari kawasan DUN Murum. - EDISI UKAS