MDS Tutup Laluan Lokasi Tempat Pembuangan Sampah Secara Haram

Disiarkan pada 20 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Majlis Daerah Sarikei (MDS) telah menutup laluan masuk ke lokasi yang kerap dijadikan tempat pembuangan sampah secara haram menggunakan penghadang besi di tapak feri lama (Old Ferry Point) Sarikei.
 
Simbolik penyerahan kunci penghadang besi kepada Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Jabatan Pertahanan Awam Sarikei, Sarikei Fishing Club dan wakil pemilik tanah telah diadakan pada Jumaat.
 
Pengerusi MDS Kr Wong Zee Yeng berkata, meskipun pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan oleh MDS untuk menghentikan kegiatan pembuangan sampah secara haram di lokasi tersebut yang merupakan tanah milik persendirian sejak tahun lepas (2023) namun masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembuangan sampah secara haram di lokasi tersebut.
 
Katanya, MDS telah membelanjakan peruntukan yang agak besar bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan beberapa inisiatif seperti memasang kamera litar tertutup (CCTV) pada 16 Mei 2023 yang lalu, mendirikan papan notis amaran, menyediakan tong RORO, mengadakan program kesedaran cara pengurusan sisa pepejal dan melakukan pembersihan kawasan setiap kali mendapati ada sampah dibuang di lokasi tersebut.
 
Ujar beliau, MDS turut menyeru orang ramai supaya membantu membanteras aktiviti pembuangan sampah secara haram dengan merakamkan gambar atau video mengenai aktiviti itu bagi memudahkan pihak majlis mengambil tindakan.
 
“Pembuangan sampah secara haram atau di tempat yang tidak sepatutnya hanya akan dapat dibanteras sekiranya penduduk setempat, orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama dengan pihak Majlis dalam menangani isu ini.
“Masyarakat perlu sedar dan mengubah cara pemikiran kerana kebersihan dan kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab bersama demi kesejahteraan hidup khasnya generasi akan datang,” katanya.
 
Kr Wong juga berterima kasih kepada Sarikei Fishing Club atas sokongan yang diberikan dalam kerja-kerja pembersihan tapak pembuangan sampah secara haram dan pemilik tanah kerana telah memberi kebenaran kepada MDS untuk memasang penghadang besi di laluan ke lokasi tersebut.
 
Aduan atau laporan boleh dihantar melalui e-mel di alamat mdsarikei@sarawak.gov.my.
 
Turut hadir bersama Timbalan Pengerusi Majlis Kr. Misiah Abu Seman, Setiausaha MDS Sait Enggang, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin, APM Sarikei KPL(PA) Mazlan Gapar, wakil Sarikei Fishing Club Michael Wong dan Kr. Muhammad Marzidi Ahmad mewakili pemilik tanah. - EDISI UKAS