SABERKAS Belia Wajar Diberi Perhatian Dan Bimbingan

Posted on 07 Oct 2024
Source of News: UKAS


MERADONG: Cawangan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) yang terdiri daripada belia wajar diberi perhatian dan bimbingan kerana mereka merupakan pewaris negara pada satu hari kelak.

Menurut Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir Yusuf Abd Wahab, sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut beliau amat menyokong penganjuran pelbagai program dan aktiviti bermanfaat untuk golongan belia setempat tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Sukan KASUS SABERKAS Pertandingan Futsal Daerah Meradong bertempat di Gelanggang Futsal Taman Bintang Bintangor baru-baru ini.

Selain itu, beliau berharap agar semua pasukan mengutamakan semangat berpasukan dan inilah peluang terbaik untuk mengenali dan menjalinkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Dalam pada itu wakil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Ley Chee Hua mengatakan beliau amat gembira kerana penganjuran Sukan KASUS Saberkas mendapat sambutan yang amat menggalakkan menyaksikan sejumlah 24 pasukan penyertaan pada kali ini.

Beliau turut memaklumkan khabar gembira kepada Kelab Belia Bintangor kerana Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Meradong telah diluluskan dengan kos projek bernilai RM100,000.

Katanya, skop projek adalah menaiktaraf prasarana gelanggang futsal Taman Bintang Bintangor iaitu pembinaan tandas dan Court Amenity. -EDISI UKAS