KUCHING: Kerajaan negeri ini menyasarkan untuk mendaftar Sarawak Delta Geopark di bawah Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjelang 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, Sarawak kini sedang menjalankan usaha dalam memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh badan berkenaan.
Menurut beliau, salah satu cara untuk mempercepatkan proses ini adalah dengan menjemput pakar dari UNESCO untuk datang dan melihat sendiri Sarawak Delta Geopark.
“Dan satu-satunya ialah kita berkehendakkan pakar daripada UNESCO untuk datang dan melihat sendiri nilai khazanah di Sarawak Delta Geopark.
“Sekiranya kita dapat memenuhi semua proses ini maka kemungkinan ia akan dibawa ke Lembaga UNESCO untuk mereka mengambil geopark kita sebagai salah satu tapak UNESCO,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan ‘International Seminar On Aspiring Sarawak Delta UNESCO Global Geopark’ di sini pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, sekiranya Sarawak berjaya mendaftarkan Sarawak Delta Geopark di bawah UNESCO, ia akan mewujudkan satu industri pelancongan yang berkualiti di negeri ini.
Jelas beliau, Sarawak akan mengambil Pulau Jeju di Korea Selatan sebagai model memandangkan mereka telah lama berjaya mendaftarkan geoparknya di bawah UNESCO dari aspek keunikan geologinya.
“Kita hendaklah memenuhi syarat-syarat untuk diisytiharkan sebagai tapak UNESCO dari sudut geopark.
“Jadi sekiranya pelancong datang, mereka akan lebih sayangkan alam semula jadi termasuk dengan nilai geologi di Sarawak Delta Geopark kita nanti dengan tidak menjejaskan apa yang kita ada di tapak berkenaan,” ujar beliau lagi.
Dalam majlis tersebut, Premier Sarawak diberi penghormatan untuk menyampaikan sijil kepada enam rakan kongsi geopark.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Henry Harry Jinep, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datu Abdullah Julaihi dan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad. -EDISI UKAS