Betong: Majlis Apresiasi Kecermerlangan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023 dan Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik Semesti 1 2024 motivasi pelajar, hargai para pendidik dalam melahirkan generasi yang berkualiti pada masa hadapan.
Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu berkata di sebalik kejayaan anak-anak adalah hasil dari pendidikan yang berkualiti serta sokongan daripada ibu bapa terhadap pihak sekolah.
"Ibu bapa juga perlu sentiasa peka dengan bantuan pendidikan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan kepada pelajar untuk melanjutkan pendidikan di peringkat yang tertinggi.
"Hal ini kerana, pada hari ini banyak bantuan pendidikan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan terutamanya kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tersebut di Dewan Gemilang, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dr Richard turut menghargai Jawatankuasa Badan Muafakat MRSM Betong atas sokongan kewangan yang diberikan untuk program-program akademik.
Beliau turut mengumumkan sumbangan dana berjumlah RM10,000 kepada Badan Muafakat Cawangan MRSM Betong untuk aktiviti tahun 2024.
Majlis tersebut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Penghormatan Pengetua dan Anugerah Pelajar Terbaik Subjek Semester 1.
Seramai 20 orang pelajar menerima Anugerah Cemerlang dengan pencapaian keputusan 8A dan 9A dalam SPM 2023.
Manakala, pelbagai anugerah untuk para guru subjek dengan Anugerah Lonjakan Saujana Subjek SPM 2023 dimenangi subjek Matematik di mana GPS meningkat daripada 1.98 (SPM 2022) kepada 1.31 (SPM 2023).
Anugerah diterima oleh tiga orang guru subjek terebut iaitu Ahmad Yuszaidi Zulkifli, Muhamaf Rafiq MD Jais dan Joffessor Japai.
Turut hadir Pengetua MRSM Betong Juhaida Muhat, Yang Dipertua Badan Muafakat Henry Jugah dan Pegawai-Pegawai Kanan MRSM Betong.-EDISI UKAS