Manfaat Geran MRP Untuk Komuniti

Disiarkan pada 07 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Penerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Parlimen Sarikei digesa agar memanfaatkan sebaik-baiknya dana yang diberikan untuk manfaat komuniti setempat.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata penerima harus melaksanakan aktiviti yang membawa impak positif.

Katanya, sokongan badan bukan kerajaan (NGO) juga penting untuk memperkukuh pendidikan serta pembangunan di Sarikei.

“Setiap penerima geran, termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan persatuan kebudayaan, diharap memanfaatkan sebaik-baiknya dana yang diberikan untuk melaksanakan aktiviti yang membawa impak positif kepada komuniti setempat."

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Parlimen Sarikei bagi sesi 2024 di Pusat Wakil Rakyat P208 Sarikei baru-baru ini.

Dato’ Sri Huang turut memuji kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau turut menzahirkan komitmennya terhadap kebajikan masyarakat setempat terutamanya pelajar-pelajar di Parlimen Sarikei.

Pada majlis tersebut, sebanyak 73 persatuan dari kawasan Parlimen Sarikei menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM285,000.

Ia dihadiri seramai 80 orang termasuk pelbagai wakil komuniti tempatan, ketua-ketua kaum, ketua-ketua jabatan, pengetua, guru besar dan wakil-wakil persatuan serta kelab.-EDISI UKAS-