SONG: Karnival Sukan Saberkas Futsal Tertutup Bahagian Kapit 2024 anjuran Saberkas Cawangan Katibas telah berlangsung dengan jayanya di Gelanggang Futsal Song dari 5 hingga 6 Oktober.
Acara melibatkan 21 pasukan futsal dari seluruh bahagian Kapit serta sebuah pasukan jemputan dari Saberkas Ngemah ini bertujuan menggalakkan belia tempatan bersukan dan memupuk semangat kesukanan.
Majlis perasmian dan penutupan diserikan dengan kehadiran Setiausaha Agung Saberkas Sarawak Safiee Ahmad dan ADUN Katibas Lidam Assan.
Dalam ucapan ringkasnya, Safiee memuji kejayaan penganjuran Saberkas Cawangan Katibas dalam karnival ini.
Beliau turut menekankan kepentingan Saberkas sebagai platform terbesar untuk pembangunan belia di Sarawak, dengan 82 cawangan di seluruh negeri lain.
Selain itu, beliau menyeru golongan belia di Sarawak khususnya di Katibas untuk menyertai Saberkas dan memanfaatkan pelbagai peluang yang ditawarkan oleh pertubuhan tersebut.
Lidam turut mengucapkan tahniah kepada pemenang pertandingan sekaligus mengumumkan cadangan untuk mengadakan pertandingan futsal antara kawasan Saberkas di Batang Rejang serta berhasrat menambah acara sukan lain seperti bola jaring dan sepak takraw di masa depan.
Dalam kejohanan itu, pasukan Shaga Riha muncul johan dan membawa pulang RM1,000, piala dan medal, tempat kedua disandang oleh pasukan Putra B, manakala tempat ketiga diraih bersama pasukan Buragas United A dan Saberkas Ngemah.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya Malaysia, Ambrose Abong Bugek serta wakil-wakil dari Saberkas dan Pejabat Daerah Song.-EDISI UKAS-