SIBU: Golongan belia diseru untuk mendalami isu-isu politik serta memperjuangkan pembangunan di kawasan pedalaman demi memastikan suara mereka didengari dan perubahan positif dapat direalisasikan.
Dalam usaha memperkukuh peranan belia dalam pembangunan negara, dua ahli Pergerakan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Khaira Amirah dan Dominic Amor menyeru agar golongan belia lebih aktif dalam memahami politik serta memperjuangkan pembangunan di kawasan pedalaman yang masih ketinggalan.
Menurut mereka, penyertaan aktif dalam politik dan penggunaan platform digital adalah kunci utama untuk membawa perubahan bermakna, terutamanya bagi komuniti yang terpinggir.
Sehubungan itu, Dominic Amor menekankan kepentingan penyertaan belia dari kawasan pedalaman dalam sayap belia PBB 1828.
Menurutnya, penyertaan ini memberi ruang untuk membawa suara belia pedalaman, terutamanya dari kawasan Dayak, yang masih ketinggalan dari segi pembangunan.
“Kami berharap penyertaan dalam PBB dapat membawa satu suara dan harapan bagi belia di kawasan pedalaman. Banyak kemudahan asas seperti taman rekreasi, padang sukan, dan dewan untuk kursus-kursus belia masih kurang di kawasan ini,” jelas Dominic.
Seruan ini disuarakan selepas Majlis Pelancaran Pergerakan Belia Parti PBB yang disempurnakan oleh Presiden Parti PBB yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Ahad.
Beliau turut menegaskan bahawa platform digital memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat terkini dan memajukan masyarakat pedalaman agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan global.
Dominic menambah, penyertaan belia dalam politik bukan sekadar untuk terlibat dalam proses politik, tetapi juga untuk memperjuangkan suara dan keperluan pembangunan komuniti pedalaman di seluruh negara.
Sementara itu, Khaira Amirah menyatakan harapannya agar belia di seluruh negara diberi peluang mendalami dunia politik, khususnya dalam konteks isu-isu terkini.
Pemahaman politik yang lebih luas, katanya, akan membantu belia membuka minda dan memperluaskan perspektif mereka dalam pelbagai kerjaya.
“Saya berharap semua belia PBB dapat belajar tentang politik dan cara menangani isu-isu semasa dengan lebih berkesan,” katanya. –EDISI UKAS