SIBU: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sibu bakal memanfaatkan seramai 100,000 penduduk dengan mengurangkan risiko banjir di sekitar Sibu.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof memberitahu, projek itu akan dilaksanakan dalam beberapa fasa.
“Fasa pertama dan kedua projek ini telah siap pada tahun 2015 dengan kos sebanyak RM183 juta, manakala fasa ketiga telah siap pada 1 Disember 2023 dengan kos RM85 juta.
“Projek ini melibatkan pembinaan sistem perparitan dan takungan air untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan Sibu.
“Fasa keempat projek ini akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dan dijangka bermula tahun hadapan, dengan reka bentuknya sedang dalam peringkat akhir.
“Fasa kelima yang dianggarkan menelan belanja RM500 juta masih dalam proses mendapatkan kelulusan untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa melakukan lawatan ke tapak Projek Rancangan Tebatan Banjir Sibu (Fasa 3) di sini pada Ahad.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu menambah, dianggarkan risiko banjir dapat dikurangkan dan kawasan penting seperti pusat bandar, kampung dan aset komersial serta industri di Sibu akan dilindungi.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM268 juta untuk Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sibu yang dilaksanakan dalam tiga fasa utama itu.
Sementara itu, Dato Sri Fadillah berkata bahawa selain daripada projek fizikal, terdapat kajian yang sedang dijalankan ke atas Sungai Rajang dan Sungai Igan.
“Objektif kajian ini yang dijangka siap pada tahun 2025 dan 2026 adalah untuk menjalankan kajian hidrologi dan memastikan sungai-sungai kekal bersih, kerana ia adalah sumber bekalan air.
“Pada masa yang sama, kita juga boleh melihat projek tebatan banjir secara keseluruhan. Jadi, apa jua cadangan untuk tindakan jangka panjang akan bergantung kepada hasil kajian tersebut,” ujarnya.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sarawak Datu Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi. -EDISI UKAS