Syarikat Penerbangan Diminta Tambah Kekerapan Penerbangan, Bawa Penumpang Terkandas

Disiarkan pada 20 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Syarikat penerbangan dinasihatkan untuk menambah kekerapan penerbangan atau menggunakan pesawat yang lebih besar berikutan gangguan penerbangan akibat letusan Gunung Ruang di Indonesia baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, beliau percaya terdapat ramai penumpang yang sedang menunggu penerbangan untuk dijadualkan semula. 

“Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) menggesa syarikat penerbangan untuk menambahkan kekerapan penerbangan atau menggunakan pesawat yang lebih besar untuk membawa penumpang yang terkandas pulang ke destinasi yang dituju. 

“Saya percaya terdapat ramai penumpang yang menunggu penerbangan yang dijadualkan semula, manakala kebanyakan jadual penerbangan sedia ada sudah penuh ditempah kerana musim perayaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan MOTS pada Jumaat. 

Dato Sri Lee menambah, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan MOTS akan terus memantau keadaan dengan teliti, bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), dan syarikat penerbangan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penumpang terjamin.

Dalam kenyataan sama, MOTS juga menasihatkan penumpang yang terjejas supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini serta bantuan.

Pada Khamis lalu, CAAM telah mengeluarkan amaran bahaya di ruang udara Pulau Borneo, yang secara langsung memberi kesan kepada operasi penerbangan ke Sarawak dan Sabah. -EDISI UKAS