KMKK Perlu Terap Nilai Kredibiliti Sebagai Tampuk Kepimpinan Komuniti

Disiarkan pada 20 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dinasihatkan untuk menyerap nilai kredibiliti dalam menggalas tanggungjawab mereka. 

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penerapan nilai kredibiliti sebagai tampuk pimpinan komuniti sangat penting terutamanya telus dalam menguruskan dana, geran dan projek yang diperuntukan agar perkhidmatan cemerlang dapat diberikan kepada komuniti setempat.

“Contohnya apabila menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Tuai Rumah haruslah mengadakan mesyuarat bersama penduduk rumah panjang dan membincangkan serta menerangkan hal berkaitan peruntukan yang diagihkan untuk projek pembangunan yang akan dilaksanakan.

“Jika ia tidak dimaklumkan, akan boleh menimbulkan syak wasangka dalam kalangan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). 

“Selain itu, setiap JKKK harus menghantar laporan perlaksanan projek tersebut kepada agensi yang berkaitan contohnya pejabat Daerah atau lain lain,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan KMKK di sini pada Jumaat. 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu juga mengingatkan untuk tidak membina rumah panjang baharu sebelum memastikan dahulu status tanah dan untuk tidak mendirikan rumah terlalu dekat dengan sungai, jalan raya ataupun di kawasan yang tinggi dan curam. 

Difahamkan, seramai tujuh Ketua Kaum baharu telah dilantik dan 46 orang Ketua Kaum dilanjutkan perkhidmatan selama dua tahun berkuatkuasa Januari 2024. 

Turut hadir, Residen Bintulu Nyurak Keti dan Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi. -EDISI UKAS