Kem Belia Sarawak Skills Bentuk Pemimpin Muda Masa Depan

Disiarkan pada 06 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


SEMATAN: Kerajaan sentiasa komited dalam memperkasakan belia di wilayah ini melalui Kem Belia Sarawak Skills dalam usaha membentuk dan melahirkan pemimpin muda masa hadapan.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee memberitahu, penganjuran program ini juga sejajar dengan dasar kerajaan yang mengutamakan pembangunan modal insan.

“Kerajaan kita percaya bahawa belia adalah aset terpenting dalam pembangunan negara dan maka itu usaha untuk melatih dan membentuk belia menjadi individu yang berkualiti adalah satu langkah yang tidak boleh dipandang remeh,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Perasmian Penutupan Kem Belia Sarawak Skills yang berlangsung di sini pada Sabtu.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan belia di Sarawak dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan, kemahiran teknikal, dan pembangunan sahsiah.

Dalam pada itu, peserta kem turut berpeluang untuk belajar daripada pakar industri dan mengasah bakat mereka melalui bengkel praktikal dan sesi interaktif.

Hadir sama, Ketua Pegawai Teknologi Sarawak Skills Zakri Mohamad Salleh dan Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sematan Mohd Ameerullah Roslan. -EDISI UKAS