Infrastruktur Daerah Asajaya Akan Ditingkatkan

Disiarkan pada 20 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


ASAJAYA: Infrastruktur asas di kawasan Daerah Asajaya akan terus ditingkatkan melalui Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA). 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kawasan Asajaya kini sedang giat dibangunkan di bawah rancangan rapi kerajaan Sarawak bersama IRSDA dalam usaha memberikan kemudahan asas infrastruktur kepada penduduknya. 

Katanya, salah satu contoh pembangunan infrastruktur yang sedang dijalankan di kawasan tersebut ialah projek pembinaan tambatan banjir di pesisir pantai Asajaya ke Sebuyau. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Asajaya pada Sabtu. 

Selain itu, kerja-kerja pelebaran jalan turut giat dijalankan bagi memudahkan penduduk dan orang luar mengakses kawasan Asajaya. 

Mengulas perkembangan lain, Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya menegaskan bahawa struktur daif Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya perlu diambil perhatian sepatutnya memandangkan ianya agak tidak selamat untuk pelajar dan kakitangan sekolah. 

Justeru, beliau berharap kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat mengambil perhatian segera dalam penyaluran dana bagi menaik taraf sekolah tersebut serta sekolah-sekolah daif yang lain di kawasan Asajaya. 

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, Residen Bahagian Kota Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmat, Ketua Polis Kota Samarahan DSP Jaimi Husin, Temenggong Melayu Bahagian Kota Samarahan Chek Bujang dan Temenggong Cina Bahagian Kota Samarahan Liew Shark Shen. -EDISI UKAS