Gunakan Dana MRP Sebaiknya

Disiarkan pada 20 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Peruntukan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) harus digunakan dengan sebaiknya dalam penganjuran program yang memanfaatkan penduduk sekitar.

Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem, penyaluran dana merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat dapat menikmati pembangunan di peringkat akar umbi.

Baru-baru ini, beliau telah menyampaikan dana MRP kepada beberapa buah kampung di kawasan Serian bagi memudahkan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlibat mempersiapkan kampung masing-masing menjelang Gawai Dayak yang akan datang.

Dalam satu sesi penyerahan dana yang berlangsung di Pusat Khidmat Serian pada Rabu lalu, Dato Sri Richard telah menyampaikan cek dana MRP kepada empat buah kampung yang diwakili oleh wakil kampung masing-masing.

Dana-dana yang disalurkan oleh kerajaan Sarawak merupakan bukti kukuh bahawa pihak kerajaan sentiasa memikirkan kepentingan dan pembangunan kepada rakyat walaupun di peringkat kampung.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap ianya dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya agar semua pihak dapat merasai usaha kerajaan dalam membantu mereka menganjurkan sesuatu program pada musim perayaan ini. -EDISI UKAS