Permasalahan Projek Jalan Empelanjau-Munggu Mawang Dibincangkan

Disiarkan pada 20 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


PANTU: Permasalahan berkaitan perlaksanaan projek bina Jalan Empelanjau ke Munggu Mawang dibincangkan dalam satu sesi dialog bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang pada Jumaat. 

Sesi dialog yang diadakan di Pejabat Daerah Pantu itu melibatkan penduduk yang mempunyai tanah di tapak perlaksanaan projek. 

Datuk Mong yang juga pengerusi sesi dialog tersebut memberi peluang kepada penduduk untuk memberi maklum balas mengenai kesanggupan mereka menyerahkan tanah untuk tujuan pembangunan. 

Mereka yang terlibat akan diberi pampasan oleh kerajaan sekiranya bersetuju untuk menyerahkan tanah bagi memulakan projek bina jalan berkenaan. 

Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi dialog tersebut ialah penduduk di Kampung Kara tidak mendapatkan makluman awal dari agensi perlaksana mengenai projek tersebut. 

Sehubungan dengan itu, segala maklum balas dan isu berbangkit dalam sesi dialog tersebut akan diutarakan kepada Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) untuk tindakan selanjutnya. 

Hadir sama, Pegawai Tadbir Khas SADA Datu Indit Banggai, Pemangku Pegawai Daerah Pantu Langgong Wasam dan Penguatkuasa Jabatan Tanah dan Survei Cawangan Sri Aman Michealson Nyisin. -EDISI UKAS