Ahli Parlimen Baram Rasmikan Program Randau Pembangunan (Townhall) Daerah Telang Usan 2024

Disiarkan pada 20 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BARAM: Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau telah merasmikan Program Randau Pembangunan (Townhall) Daerah Telang Usan 2024 yang bertempat di Dewan SJK (C) Kee Tee, Long Lama di sini pada Jumaat. 

Program yang mengupas isu-isu yang berlaku di Daerah Telang Usan ini disertai oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Highland Development Agency (HAD), Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Jabatan Hutan Wilayah Miri, Samling Corporation Berhad dan lain-lain. 

Selain itu, program yang bertemakan ‘REVISIT, RETHINK & RECHARGE’ ini turut menyaksikan seramai 12 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) menerima sijil sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada masyarakat selama ini.

Terdahulu, di dalam ucapannya, Dato Anyi telah memuji inisiatif yang dibawa oleh Pejabat Daerah Telang Usan dalam menganjurkan Program Randau kali ini. 

“Program ini dapat membawa penglibatan agensi yang sesuai untuk memperjelaskan mengenai isu-isu di dalam kawasan yang terlibat khususnya Telang Usan secara lebih jelas dan terperinci melalui agensi-agensi yang mengambil bahagian,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau, Pegawai Daerah Telang Usan Ezra Uda, Pemangku Pegawai Daerah Beluru Aloysious Lisu, Ketua Masyarakat Kaum Kayan Bahagian Miri Temenggong Elizabeth Deng dan Ketua Masyarakat Kaum Kenyah Bahagian Miri ⁠Temenggong Joseph Ngau Lian. -EDISI UKAS